Ada beza ke kedua ini ?
Sekiranya kita ada hartanah rezab melayu dan lot bumiputra , penting untuk kita ambil tahu prosesnya untuk elakkan masalah akan datang supaya proses pindah milik tiada masalah.
Hartanah rezab melayu ni hanya boleh dipindahmilik antara bangsa melayu sahaja sebabnya Rezab Melayu nilah cara kerajaan nak kawal pegangan orang melayu dalam hartanah di Malaysia.
Dalam jual beli hartanah jenis Rezab Melayu ni, pentadbir tanah dan daerah akan jadi saksi tandatangan untuk dokumen pindah milik dan ia berbeza dalam kita jual hartanah yang bukan Rezab Melayu dimana dokumen pindahmilik hanya peguam yang jadi saksi.
Bagaimana nak semak status Rezab Melayu ?
Cara untuk semak hartanah Rezab Melayu ni boleh periksa pada geran rumah. Kebiasaannya akan ada tertulis Rezab Melayu.
Kami sebagai perunding hartanah biasanya dari awal akan periksa rumah yang hendak dijual jenisnya apa supaya sedia maklum yang ia tidak boleh dijual kepada yang bukan Melayu. Oleh sebab tu jika jual hartanah sebegini kena periksa dulu surat beranak pembeli untuk pastikan pembeli memang bangsa melayu.
Ada masa mereka rasa yakin yang mereka Melayu tetapi dalam surat beranak tidak nyatakan sedemikian.
Bagaimana dengan hartanah lot bumiputra pula ?
Untuk hartanah lot bumiputra hanya boleh dimiliki oleh bumiputra sahaja ye. Bumiputra ni secara umum dimaksudkan orang melayu, orang asli semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Lot bumiputra ni pihak berkuasa negeri kenakan syarat dalam bentuk kuota kepada pemaju semasa mereka nak bangunkan sesuatu projek hartanah.
Contoh katakan ada pemaju nak buat projek maka pihak berkuasa negeri boleh bagi syarat seperti 30% ke 40% dari jumlah unit mesti kuota untuk bumiputra.
Biasanya bila hartanah subsale kita memang tidak akan jumpa tertulis status hartanah lot bumiputra dalam SNP atau geran rumah.
Maka ada 3 perkara penting kita kena ambil tahu iaitu :
- Jika status hartanah bumiputra tidak dinyatakan dalam mana-mana dokumen hakmilik dan dah ada geran individu ataupun strata, dimana geran tersebut tidak nyatakan sekatan daripada pihak berkuasa maka jualan hartanah lot bumiputra boleh dilakukan kepada bukan bumiputra
- Jika status bumiputra tidak dinyatakan dalam geran atau SNP dan hartanah tersebut ada sekatan yang perlukan kebenaran pindahmilik oleh pihak berkuasa maka pemilik bumiputra tidak boleh jual kepada bukan bumiputra. Kebiasaan ni melibatkan hartanah leasehold.
- Jika status bumiputra tidak disebut dalam dokumen hakmilik dan jenis geran hartanah adalah master title, jadi kena dapatkan pengesahan daripada pemaju terlebih dahulu sebelum jual rumah tersebut kepada bukan bumiputra , sebabnya hartanah master title masih nama pemaju dan mereka kena pastikan kuota bukan bumiputra tak melebihi kuota bumiputra. Jika nak buat pengesahan boleh minta bantuan peguam.